Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penduduk di negeri Pahang dinasihatkan supaya menghadkan masa berada di luar bangunan atau melakukan aktiviti luar berikutan cuaca panas yang melanda pada ketika ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, cuaca panas yang melanda negara pada masa ini merekodkan suhu maksimum antara 35 darjah Celcius sehingga 37 darjah Celcius.

“Pendedahan kepada cuaca panas dan gelombang haba boleh menyebabkan kesan kesihatan yang ringan seperti selaran matahari (sunburn) dan ruam pada kulit (rash).

“Sekiranya pendedahan kepada cuaca panas diikuti dengan kehilangan air badan yang banyak, ia boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk seperti kekejangan otot dan kelesuan haba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Tambah beliau, situasi itu boleh menyebabkan strok haba sekaligus memerlukan rawatan kecemasan segera bagi mengelakkan komplilasi dan kematian.

Sehubungan dengan itu, Nor Azimi menyarankan orang ramai untuk meminum banyak air serta menggunakan topi atau payung untuk melindungi daripada pancaran haba terus ke badan.

“Digalakkan memakai pakaian yang longgar, ringan dan berwarna terang, elak duduk di dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa.

“Selain itu, gunakan kipas atau pendingin hawa untuk menyejukkan badan, kurangkan pengambilan minuman berkafein, beralkohol dan bergula serta dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan orang ramai boleh memantau status gelombang haba di negeri dan daerah masing-masing melalui laman sesawang MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas . – MalaysiaGazette