Hassan (kiri) dan Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar wajar menunjukkan contoh dengan sekurang-kurangnya bercuti daripada tugas sebagai menteri selepas pegawai kementeriannya terpalit dengan isu rasuah.

Nasihat tersebut diberikan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR) Hassan Abdul Karim yang juga anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang bertugas sebagai badan pemantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Saya berpendapat Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia V Sivakumar yang mendukung agenda Pakatan Harapan untuk membasmi rasuah di Malaysia wajar menunjukkan contoh tauladan yang positif dengan sekurang-kurangnya bercuti dari tugas sebagai menteri.

“Sehingga agensi penyiasatan SPRM selesai menjalankan kerjanya untuk membongkar gejala rasuah yang nampaknya telah berakar umbi dan endemik di kementerian berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hassan, Sivakumar tentu lebih faham tentang prinsip ‘collective responsibility’ (tanggungjawab bersama) dan ‘ministerial responsibility’ (tanggungjawab menteri) di dalam fungsi kerja Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan.

Hassan berkata, Sivakumar tidak seharusnya menunggu arahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbuat demikian.

“Setiap menteri mesti ada tanggungjawabnya sendiri untuk menjaga nama baik kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang amat jelas sedang melakukan tindakan untuk membanteras amalan rasuah di dalam jentera kerajaan.

“Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Setakat ini YB Menteri Sumber Manusia bukannya suspek, bukannya orang yang dituduh.

“Tetapi fakta dua kali dipanggil untuk disiasat oleh SPRM, dan rumah serta pejabat dilawati oleh SPRM bukanlah sesuatu yang molek bagi wajah anggota kabinet kerajaan yang dikenali sekarang sebagai Kerajaan Madani,” tegas Hassan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu yakin Sivakumar mempunyai jiwa besar dan kesedaran yang jernih dan mulia.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan pemimpin politik yang berpengalaman adalah terhormat bagi Sivakumar mengambil tindakan yang tepat.

“Saya tidak mendesak atau menyeru beliau meletakkan jawatan sekarang.

“Sekurang-kurangnya eloklah pada waktu ini beliau bercuti dahulu dari tugas sebagai seorang menteri,” kata Hassan.

Beberapa hari lalu media melaporkan, Sivakumar yang juga pemimpin DAP disoal siasat SPRM sebanyak dua kali sebagai sebahagian siasatan ke atas pengambilan pekerja asing.

Turut dilaporkan, Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM berhubung siasatan rasuah terhadap kelulusan pekerja asing.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast