Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka,Dr. Muhamad Akmal Saleh serta yang lain bergambar kenangan sebelum berlepas pada Majlis Pelepasan Misi Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Turkiye & Syria Kerajaan Negeri Melaka dan Bridged Negaraku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2023.

SEPANG – Ketua Pemuda UMNO Kebangsaan, Dr Muhamad Akmal Saleh memohon doa rakyat Malaysia supaya beliau kumpulan misi kemanusian dipermudahkan urusan menyalurkan bantuan di Turkiye dan Syria.

Ia merupakan inisiatif kerajaan Negeri Melaka dan dua pertubuhan bukan kerajaan (MGO), Briged Negaraku serta Malaysian Youth Volunteer Community (Myvoc).

Dr Muhamad Akmal berkata, kerajaan negeri Melaka bersama NGO Briged Negaraku telah melancarkan Tabung Bantuan Kemanusian bagi membantu Turkiye dan Syria yang dilanda gempa bumi selain menerima sumbangan sebanyak RM400,000 daripada tabung yang dilancarkan sebulan lalu.

“Kita akan berangkat ke Turkiye dan kemudian Syria untuk menyampaikan beberapa sumbangan yang juga merupakan keperluan antaranya tujuh rumah kabin dan bahan makanan di Turkiye manakala untuk Syria pula kotak makanan, wang tunai RM30,000, 145,000 keping roti dan alat tulis kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Muhamad Akmal yang merupakan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, beliau tidak pasti tujuh sukarelawan termasuk doktor dan pakar psikatari dibenarkan memasuki Syria.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka,Dr. Muhamad Akmal Saleh serta yang lain mengaminkan bacaan doa sebelum berlepas pada Majlis Pelepasan Misi Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Turkiye & Syria Kerajaan Negeri Melaka dan Bridged Negaraku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang. Foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2023.

“Syria sedang berperang malah semalam kita difahamkan terdapat pertempuran. Kita sedang bekerjasama dengan sebuah NGO yang dinamakan sebagai IHH yang akan bantu kita. Kita minta rakyat Malaysia doakan kita sebaiknya.

“Semoga kita dapat masuk ke Syria bantu rakyat di negara ini dan pulang dengan selamat,” ujarnya.

Pada 6 Februari lalu gempa bumi magnitud 7.4 menggegarkan  Kahramanmaras, Turkiye disusuli beberapa siri gegaran susulan berukuran 6.4 magnitud di sempadan Turkiye-Syria pada 20 Februari, serta gempa bumi bermagnitud 5.8 beberapa minit kemudian yang berpusat tidak jauh dari gegaran pertama di wilayah Hatay, Turkiye.

Lebih 50,000 kematian dilaporkan di Turkiye dan Syria dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sebanyak AS$1 bilion diperlukan bagi membantu mangsa yang terkesan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast