BENTONG – Empat sekeluarga ditemui pengsan di dalam sebuah MPV di Plaza Tol Bentong di sini dalam kejadian 2.45 petang tadi.

Mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki, wanita dan dua kanak-kanak dipercayai terhidu karbon monoksida lalu pengsan dan merempuh pintu salah sebuah tol.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superitendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian tersebut dilaporkan kepada pasukan polis yang sedang menjalankan tugas rondaan Op Selamat di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak.

“Pegawai dan anggota bertugas Inspektor.Ridhwan Kassim, Koperal Mohamad Azuwan Aziz telah memberi bantuan awal kepada mangsa dibantu oleh anggota peronda lebuh raya, orang awam dan pihak LPT.

“Pegawai bertugas juga telah mengeluarkan mangsa dari kereta dan menghubungi pihak hospital untuk tindakan susulan.

“Tindakan pantas ini dapat menyelamatkan empat nyawa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pihak polis berharap kesemua pengguna jalan raya berhati-hati semasa memandu di musim perayaan ini.

Sementara itu, anak sulong mangsa dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan perkembangan terkini keluarganya yang kini telah sedar dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan.- MalaysiaGazette