Aliran trafik di Karak. Foto FB LLM

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersiap siaga untuk memastikan aliran trafik pengguna jalan raya dan lebuh raya utama yang kembali semula ke ibu negara lancar selepas berakhirnya cuti umum Aidilfitri 2023 dan pengecualian Tol Rahmah pada hari ini.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, anggota JSPT di lapangan telah berada di lokasi-lokasi hotspot di lebuh raya, Jalan Persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran yang berlaku kesesakan untuk ke ibu kota.

Keanggotaan balai, kereta peronda MPV, unit rondaan bermotosikal (URB) dan unit dron (PGU) PDRM turut diatur secara sistematik bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan sentiasa terkawal.

Antara langkah penyuraian kesesakan yang dilaksanakan adalah pengaktifan laluan pintar di Lebuhraya Utara Selatan dengan kerjasama pihak PLUS Berhad di kilometer 259 Persimpangan Port Dickson hingga Kilometer 263 Persimpangan Seremban (arah utara) dan di Kilometer 19 Persimpangan Senai hingga Kilometer 27 Persimpangan Kulai (arah utara), katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dilaporkan aliran jumlah kenderaan yang tinggi dari arah selatan, utara dan timur menuju ke ibu kota menyebabkan berlakunya kesesakan di sesetengah tempat seperti kawasan mendaki dan penukaran tiga kepada dua lorong.

Bagaimanapun, jelasnya Polis Diraja Malaysia dan pihak konsesi lebuh raya terlibat serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sentiasa bekerjasama agar kesesakan yang berlaku dapat diminimumkan.

“JSPT mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kemalangan atau kesesakan luar biasa daripada semua pengguna jalan raya dan boleh menyalurkan kepada Bilik Gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-22663356 yang bertugas 24 jam setiap hari.

“PDRM kekal komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai yang telah mempamerkan kerjasama dan sikap berhemah yang terbaik kepada pihak berkuasa sepanjang Op Selamat 20 yang berlangsung,” ujar beliau.- MalaysiaGazette