Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni rakyat yang hadir ke Jamuan Aidilfitri di Istana Abdulaziz di Kuantan hari ini

KUANTAN – Rakyat pelbagai kaum memeriahkan sambutan hari raya ketiga di Kuantan dengan menghadiri Jamuan Aidilfitri Pemangku Raja Pahang di Istana Abdulaziz, Kuantan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan meraikan lebih 2,000 rakyat pada majlis sambutan tu yang bermula pada jam 11 pagi.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohammed serta beberapa Exco kerajaan negeri dan pemimpin jabatan.

Merek yang hadir mengambil kesempatan bagi mengabadikan kenangan dengan bergambar berlatar belakangkan bangunan istana.

Pelbagai hidangan disediakan seperti laksa, ketupat, nasi minyak, rendang ayam dan daging,  serta sate disediakan kepada tetamu.

Halimah Husin (kiri) bersama tiga orang anaknya

Bagi Halimah Husin yang kali pertama menghadiri majlis hari raya di istana merasakan ini pengalaman manis buat keluarganya yang menetap di Sungai Buloh.

”Alhamdulillah, majlis berjalan baik, tidak sesak dan sangat teratur, dan makanan sangat sedap, rasa beruntung sangat hari ini.

”Paling penting dapat bergambar dengan raja yang sangat mesra dan berjiwa rakyat, dah selesai ini kami terus pulang ke Sungai Buloh,” katanya.

Seroja Tanggaraja dan keluarga pula rasa bersyukur kerana menjadi rakyat Malaysia yang dapat menyambut pelbagai perayaan pada setiap tahun.

”Kita untung jadi rakyat Malaysia, dan bila ada rumah terbuka di istana kami memang tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir, mestik suka sebab raja kita baik,” katanya.

Siti Zuraina Mohd Arif bersama keluarga tidak melepadkan peluang menghadiri Jamuan Aidilfitri di Istana Abdulaziz hari ini

Bagi Siti Zuraina Mohd Arif, 47, berkata, kesempatan menghadiri rumah terbuka dimanfaatkan bersama empat orang anaknya untuk beraya dan mengenali orang ramai.

”Berpeluang dapat raya di sini sebab ikut suami bekerja, rezeki kami beraya bersama-sama.

”Seronok dapat tengok Pemangku Raja meraikan rakyat semua yang hadir hari ini, makanan pun enak belaka,” katanya.

Midiana Maju

Madiani Maju, 46, berkata, sambutan yang diadakan wajar diteruskan kepada rakyat di negeri ini.

”Tahun ini baru dapat sertai jamuan Aidilfitri di istana selepas Perintah Kawalan Pegerakan (PKP), memang meriah dan sebagai rakyat Pahang kita teruja raja kita sangat baik,” katanya. – MalaysiaGazette