Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan reman empat hari bermula hari ini kerana memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar di laman media sosial.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, permohonan reman dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kes dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan di sebuah rumah di Puchong dipercayai memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor di media sosial.

Pada 20 April lalu, lelaki itu dipercayai telah mengeluarkan hantaran itu menerusi akaun Facebook dengan nama ‘Indera Mulia’.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sekeping kad sim untuk membantu siasatan.

Tambah Noorsiah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja atau kerajaan.

Kes tersebut turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“PDRM menasihatkan orang ramai tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan, menimbulkan rasa benci kepada agama, bangsa, kaum, raja dan seumpamanya.

“PDRM juga menasihatkan rakyat tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepada rasa tidak harmoni dan menjejaskan perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast