Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia berjaya membawa 30 warga Malaysia dan 26 warga asing ke Port Sudan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kesemua mereka tiba pada pukul 2.07 petang waktu tempatan semalam.

Kumpulan terbabit melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer ke Port Sudan yang mengambil masa selama 30 jam.

Zambry berkata, terdapat dua rakyat Malaysia tidak terlibat dalam proses evakuasi tersebut kerana berkhidmat dengan United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei.

Proses evakuasi kedua-dua mereka akan dilakukan oleh pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Selanjutnya, kita sedang mengusahakan untuk membawa kesemua 56 orang ini keluar dari Port Sudan melalui dua opsyen.

“Iaitu sama ada melalui laluan udara sewaan khas pesawat atau melalui laluan laut (kapal laut).

“Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Seramai 26 warga asing itu membabitkan rakyat Singapura (14), Kemboja (6) dan Amerika Syarikat (2) dan masing-masing satu melibatkan Filipina, Thailand, Palestin dan Sudan.

“Keadaan rakyat Malaysia dan warganegara lain di dalam konvoi Malaysia ini dimaklumkan sihat dan selamat.

“Sama-sama kita doakan agar proses mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan sesegara mungkin dan seterusnya kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” kata Zamry.

Seramai 32 rakyat Malaysia dilaporkan berada di Sudan iaitu di tujuh tempat berbeza.

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.

Konflik bersenjata itu tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF). – MalaysiaGazette