Seramai 458 keluarga mengambil peluang menziarah banduan di Penjara Penor, Kuantan pada Perjumpaan Khas Aidilfitri pada 24 dan 25 April 2023

KUANTAN – Seramai 458 keluarga mengambil peluang menziarah banduan di Penjara Penor sempena Perjumpaan Khas Aidilfitri pada tahun ini.

Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara Ahmad Ikhwan Naim Mohd Zin berkata, penghuni penjara dibenarkan menerima lawatan ahli keluarga pada hari raya ketiga dan keempat.

Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara Ahmad Ikhwan Naim Mohd Zin

Menurutnya, lawatan dilakukan menerusi tempahan atau secara pendaftaran di kaunter lawatan kepada penghuni beragama Islam bermula pada jam 8.15 pagi hingga jam 4.15 petang.

”Seramai 265 keluarga menghadiri perjumpaan khas pada hari raya ketiga, dan 193 keluarga pula hadir melawat pada raya keempat.

”Daripada jumlah itu, 102 permohonan perjumpaan dibuat melalui tempahan dan 356 pula hadir secara jumpa terus (walk-in) bertemu penghuni di sini.

Kompleks Penjara Penor, Kuantan

Menurutnya, penghuni yang dibenarkan untuk bertemu keluarga terdiri daripada 163 banduan yang direman manakala 295 lagi banduan yang sedang menjalani hukuman.

Jelas Ahmad Ikhwan, sesi perjumpaan berjalan lancar dan kehadiran keluarga menziarah penghuni itu dapat memberi sokongan moral kepada banduan.

”Peluang perjumpaan sebegini perlu dimanfaatkan kerana dapat memberi peluang dan keinsafan kepada penghuni supaya menghargai diri banduan sendiri sepanjang duduk dalam penjara.

”Hubungan kasih sayang keluarga dengan penghuni dapat menimbulkan rasa insaf dan lebih yakin kepada mereka untuk kembali kepada keluarga selepas bebas kelak.

”Ia secara langsung dapat meningkatkan motivasi lebih bersemangat nak hadapi sisa-sisa kehiduan di tembok besi di ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pada perjumpaan itu waris penghuni boleh memberi hamper dan makanan bermasak mengikut pakej A, B dan C bernilai RM25,RM50 dan RM100 yang disediakan oleh pihak penjara.

Rekod seramai 1,982 banduan ditempatkan di Kompleks Penjara Penor itu.

ARTIKEL BERKAITAN :

40 banduan Pahang dapat pelepasan berlesen

Pegawai penjara yang bertugas memnggil nama pelawat sempena sesi lawatan pada Perjumpaan Khas Aidilfitri 2023

Terdahulu Jabatan Penjara Malaysia membenarkan semua lawatan berkenaan membabitkan Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Pelawat adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara. – MalaysiaGazette