Hannah Yeoh bercakap kepada pemberita selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Bukit Tunku Jalan Duta pagi tadi. - MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan untuk memperkasakan Unit Cerun di bawah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran.

Ia boleh dilakukan dengan mengambil lebih ramai pakar cerun bagi mengendalikan isu hakisan dan tanah runtuh dengan lebih berkesan.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, lebih ramai pakat cerun diperlukan DBKL yang berhadapan dengan banyak aduan berkaitan runtuhan tanah khususnya di kawasan Parlimen Segambut.

“Saya akan meminta DBKL memastikan laporan dan aduan mengenai hakisan tanah di kawasan diteliti serius dan ini cukup penting berdasarkan trend tahun lepas kawasan Parlimen Segambut mengalami banyak insiden tanah runtuh,” katanya selepas meninjau kawasan tanah runtuh berhampiran Akademi Pencegahan Rasuah malaysia (MACA), di sini, hari ini.

Beliau diberi taklimat oleh pasukan teknikal yang terdiri daripada Bomba, Polis dan Jabatan Mineral dan Geosains serta DBKL.

Menurut Hannah, pada 2022, lebih 100 kes kejadian tanah runtuh telah dilaporkan berlaku di kawasan Parlimen Segambut.

“Banyak skala (insiden tanah runtuh), bukan semua berskala besar, kita terima aduan dan memang DBKL ambil tindakan berdasarkan aduan tetapi mereka lihat banyak sangat runtuhan berskala berlaku dan tidak dapat bertindak pantas,” ujarnya. – MalaysiaGazette