KUALA LUMPUR – Seramai empat mat rempit ditahan polis dalam Op Selamat yang dilakukan secara berasingan bermula jam 1.30 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, mereka yang berusia antara 16 hingga 21 tahun itu melakukan aksi berbahaya seperti ‘superman’, bersaing sesama sendiri dan zig zag.
“Motosikal kesemua remaja itu yang digunakan untuk merempit telah disita iaitu dua motosikal Honda EX5 dan dua lagi jenis Yamaha LC,” katanya, hari ini.
Tambah beliau, kesemua tangkapan diambil tindakan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.
“Polis juga menasihatkan ibu bapa agar memantau kegiatan anak-anak mereka terutama pada sebelah malam bagi mengelakkan mereka terjerumus dengan kegiatan tidak sihat seperti merempit,” ujarnya. – MalaysiaGazette