KKR

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan sebanyak 19 kediaman sementara untuk kakitangan dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terjejas akibat tanah runtuh di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), di Bukit Tunku, di sini, pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamad berkata, kemudahan sementara itu disediakan untuk memastikan kakitangan MACA tidak terganggu dengan insiden tersebut.

Katanya, perancangan membaik pulih kemudahan yang terkesan dengan tanah itu berkemungkinan mengambil masa sehingga dua minggu.

“Setelah kami mengadakan perbincangan termasuk bersama Timbalan Pesuruhjaya SPRM, kami membuat keputusan untuk memberikan kemudahan penginapan sementara kepada kakitangan-kakitangan SPRM yang terjejas.

“Kita sediakan 19 buah rumah kepada mereka ini kawasan-kawasan berdekatan tempat kerja mereka dan kami menjangkakan isu membaik pulih runtuhan itu diselesaikan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” kata beliau selepas meninjau tapak runtuhan hadapan MACA di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam; Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Datuk Zulkipli Nasri dan Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Idris Zaharudin.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu dipercayai berpunca akibat takungan air susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu serta kebocoran paip bawah tanah.

Ketika kejadian, seramai 76 orang terdiri daripada 36 lelaki dan 40 wanita yang juga petugas pentadbiran MACA dan Institut Integriti Malaysia (IIM), yang terletak bersebelahan akademi itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast