Lelaki maut terkena renjatan elektrik di Klang hari ini. Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik yang berlaku di saluran kabel utama berhampiran susur keluar Taman Laguna, Pulau Indah, Klang dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian tersebut lebih kurang pukul 4.04 petang.

“Bertindak atas panggilan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dengan kekuatan seramai lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi, mangsa dikenalpasti identiti sebagai seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 30-an terbaring dalam keadaan tidak sedar diri akibat terkena renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, tambah Morni, kerja-kerja untuk mengeluarkan mangsa masih belum dapat dijalankan  memandangkan masih terdapat arus elektrik di laluan mangsa terkena renjatan tersebut.

Pihak bomba kini masih menunggu kehadiran pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk bantuan selanjutnya bagi membolehkan mangsa dikeluarkan.

“Anggota kini berada di lokasi dan melakukan pemantauan bagi tindakan selanjutnya tanpa pergi dekat dengan mangsa memandangkan aliran arus elektrik masih aktif di laluan mangsa terbaring.

“Setakat ini punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Ujar Morni, pihaknya juga telah memaklumkan kepada pihak polis berhubung kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast