dalang 1MDB
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Peguam Negara Switzerland memfailkan pendakwaan terhadap dua pengurus PetroSaudi memperkukuhkan lagi hujah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan dalang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, pendakwaan di Switzerland itu juga memberi gambaran Najib tidak bersuhabat dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low untuk menggelapkan dana 1MDB.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan tidak menyatakan bahawa Najib terlibat dalam penipuan tersebut namun sebaliknya, bekas Perdana Menteri itu telah diperdayakan oleh Jho Low.

“Kenyataan tersebut juga tidak menyebut bahawa Najib menerima sebarang wang daripada penipuan PetroSaudi itu.

“Ini berbeza dengan pertuduhan terhadap Najib bahawa beliau menerima AS$20 juta daripada PetroSaudi pada 2011 walaupun pengirimnya merupakan dua putera raja Arab Saudi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Bern kelmarin, Jabatan Peguam Negara Switzerland memberitahu, dua tertuduh itu didakwa menyeleweng sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion daripada dana 1MDB serta bersubahat dengan Jho Low serta dibantu oleh dua pengurus 1MDB.

Mereka didakwa telah memperdayakan Najib selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB serta lembaga pengarah syarikat berkenaan berhubung projek usahasama dengan PetroSaudi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua pengurus PetroSaudi dituduh gelapkan AS$1.8 bilion dana 1MDB – AG Switzerland