KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara Switzerland telah memfailkan pendakwaan terhadap dua pengurus Petrosaudi atas tuduhan menggelapkan sekurang-kurangnya AS$1.8 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut jabatan berkenaan, kedua-dua tertuduh yang tidak dinamakan itu dikatakan berbuat demikian untuk mengaut kekayaan untuk diri sendiri dan beberapa individu lain.

Katanya, mereka dikatakan bersuhabat dalam kegiatan penggubahan wang haram dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low serta dibantu oleh dua pengurus 1MDB.

“Mereka mencadangkan skim pelaburan yang kononnya bagi tujuan transaksi dari kerajaan Arab Saudi kepada kerajaan Malaysia melalui 1MDB.

“Ia berkaitan projek usahasama antara PetroSaudi dan 1MDB bagi tujuan pelaburan dalam peluang ekonomi di Malaysia dan di negara-negara lain,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Bern kelmarin.

Jabatan Peguam Negara Switzerland menambah, bagi memperkukuhkan lagi komplot mereka, kedua-dua tertuduh dan Jho Low telah memanipulasi satu mesyuarat di atas kapal persiaran Alfa Nero di Cannes, Perancis pada Ogos 2009.

Jelasnya, mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan Putera Turki Abdullah Al-Saud.

“Kedua-dua tertuduh dan Jho Low juga mendapat sokongan daripada dua pengurus 1MDB yang menyebarkan naratif yang bertujuan memperdayakan lembaga pengarah syarikat berkenaan.

“Ia menyebabkan lembaga pengarah 1MDB diberi pemahaman yang tidak tepat berhubung operasi kerajaan kepada kerajaan itu di mana kerajaan Arab Saudi tidak terlibat dalam transaksi tersebut,” katanya.

Jabatan berkenaan berkata, lembaga pengarah 1MDB tidak tahu mengenai hutang berjumlah AS$700 juta yang disebabkan oleh projek usahasama dengan PetroSaudi.

Katanya, lembaga pengarah 1MDB juga tidak tahu bahawa PetroSaudi tidak mempunyai hak milik terhadap aset di Turkmenistan yang dinyatakan dalam usahasama tersebut.

“Akibatnya, lembaga pengarah 1MDB meluluskan transaksi tersebut dengan bersyarat, namun syarat-syarat itu dilanggar oleh dua pengurus 1MDN yang bersubahat dengan Jho Low,” katanya.

Jabatan Peguam Negara Switzerland berkata, pertuduhan merangkum tempoh sepanjang 2009 hingga 2015 atas pertuduhan menipu, melakukan penyelewengan jenayah dan penggubahan wang haran di bawah Kanun Jenayah Switzerland. – MalaysiaGazette