Tan Sri Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil keterangan daripada Ketua Pengarang sebuah agensi berita asing Isnin ini bagi membantu siasatan berhubung penerbitan artikel mengenai perancangan pembangunan kasino di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis yang dibuat peguam kepada ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan.

“Laporan polis itu dibuat selepas artikel yang disiarkan portal itu didakwa mengandungi pernyataan yang palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Razarudin, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah, kenyataan yang mendatangkan khianat awam yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sementara itu, Razarudin memberitahu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang menjalankan siasatan itu juga akan merakamkan percakapan Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay bagi membantu siasatan.

“Pihak USJT juga telah melakukan temujanji untuk mengambil keterangan beberapa saksi-saksi penting dan masih belum mendapatkan pengesahan tarikh yang sesuai,” katanya. -0 MalaysiaGazette