Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Tiga pegawai kanan polis ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan pemerasan membabitkan wang berjumlah RM1.25 juta.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin yang mengesahkan penahanan itu berkata, mereka ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, di sini, dan pihaknya telah membuka kertas siasatan.

“Tangkapan dilakukan terhadap pegawai kanan polis yang berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP), Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor yang berumur lingkungan antara 38 tahun hingga 50 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek menafikan penglibatan mereka dalam kes yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Razarudin, permohonan reman akan dilakukan terhadap ketiga-tiga pegawai kanan itu di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, esok.

Tambah beliau beliau, siasatan sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-undang / Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan pemerasan.

“Jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu,” ujarnya.

Razarudin berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan kini polis sedang mengumpulkan maklumat risikan serta bukti bagi memastikan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette