Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette

KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan prosiding rasuah membabitkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad hari ini membantah rayuan yang dikemukakan pasangan itu.

Difahamkan, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memfailkan notis bantahan awal di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu dan pengurusan kes bagi rayuan berkenaan ditetapkan pada 22 Mei ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Mohd Khairi Haron.

Bantahan itu dikemukakan bagi rayuan Bung Moktar dan Zizie Izette terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan mereka.

Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual pada Mei 2019.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati, di sini, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai sebanyak RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette, atas sebab dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat dan tarikh dan masa yang sama.

Bung Moktar dan Zizie Izette sepatutnya membela diri pada 3 Januari lalu tetapi ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka untuk menggantung prosiding bagi menunggu rayuan. -MalaysiaGazette