KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengingatkan pemimpin politik agar tidak mendekati rakyat khususnya pengundi muda hanya ketika menjelang pilihan raya sahaja.
Pengerusi GPMS Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Abu Samah berkata, sikap seperti perlu diperbetulkan jika mahu melihat undi 18 tahun menjadi penentu pilihan raya akan datang.
“Kita tak mahu pengundi 18 tahun menjadi perosak undi hingga menyebabkan tiada satu blok politik pun yang mendapat kerusi majoriti bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, baik PH, PN mahu pun BN.
“Salah membuat pilihan, angkat pemimpin terpalit rasuah dan pilih wakil rakyat yang sudah berpenggal-penggal pegang jawatan hingga gagal bawa perubahan boleh merugikan anak muda sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Khairul, anak muda hari ini jauh berbeza dengan golongan itu pada 20 tahun lepas kerana tidak terdedah dengan maklumat di hujung jari berbanding hari ini yang perlu disantuni dengan cermat jika insiden dalam PRU15 berulang.
“Anak muda dahulu berbeza dengan anak muda sekarang, anak muda dahulu kita tidak tersebar dengan media sosial, kita memilih parti kerana kita ada ayah dan ibu memilih parti.
“Sekarang ini kita nampak ada perbezaan, kadang-kala ayah dan ibu memilih parti tertentu, tapi anak pula pilih parti lain.
“Ini kerana kita ada media sosial dan anak muda sekarang pula sudah bosan keadaan politik sebab sistem politik asyik bertukar pemimpin, asyik jatuh kerajaan, kejap naik kerajaan lain.
“Sebab itu anak muda sudah malas nak ambil peduli (politik) hingga tidak balik mengundi seperti mana berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, pemimpin hari ini perlu bekerja keras dan menawarkan inisiatif yang boleh menjamin masa depan pengundi muda khususnya kerjaya untuk graduan institusi pengajian tinggi.
“Eksperimen ini berlaku dalam sejarah apabila tidak ada majoriti, itu cukup membuktikan di mana kerajaan atau pemimpin yang ada sekarang ini perlu bekerja keras dan mengambil inisiatif untuk tangkap anak-anak muda sebab mereka ini penerus masa depan.
“Generasi terdahulu seperti ayah, ibu, datuk dan nenek kita sekarang ini ada yang sudah tiada.
“Sekarang ini anak-anak muda atau pengundi yang berusia 20, 30, 40 tahun, golongan ini perlu disantuni, kerajaan perlu ambil inisiatif, bukan sahaja sistem pendidikan tapi buat program bersama mereka.
“Bukan masa pilihan raya, tapi buat pada masa sekarang, kena ada program kesinambungan kepada mereka. Apa langkah seterusnya, ini yang anak muda mahukan,” katanya.
Katanya lagi, apabila golongan muda sudah tidak peduli kepada politik, mereka akan terus melakukan kesilapan sama dan berkiblatkan media sosial sahaja untuk membuat pilihan dalam pilihan raya akan datang.
“Bila anak muda sudah bosan, dia pilih dengan tengok TikTok, media sosial, siapa popular, siapa hensem, siapa banyak membantu. Sekarang senang, dulu kita tiada media sosial, tak tahu pun orang ini bagi bantuan, orang ini bagus atau tak, kita cuma dengar kena undi orang ini, sekarang tidak.
“Anak-anak muda sekarang dia tekan saja nama orang ini, boleh tengok orang ini bagi bantuan, orang ini bagi duit lah, orang ini turun padang, orang ini dekat dengan anak muda.
“Tapi kita tak tahu adakah pemimpin ini bagus tapi di belakang dia bagaimana. Adakah sebab semata-mata nak PRU PRN atau dalam lima tahun ini memang dia buat kerja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette