Fared (dua dari kanan)selepas pemantauan penempatan tangki statik di lokasi kawasan terganggu bekalan air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, hari ini.

BATU PAHAT – Kerajaan Johor akan menjalankan satu kempen bagi menyemak arah kiblat  yang dijangka akan digerakkan di seluruh negeri itu bermula minggu depan.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, fasa pertama kempen berkenaan akan melibatkan premis kerajaan dan juga sekolah di semua 10 daerah.

Katanya, ia akan digerakkan oleh satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan juga pejabat kadi di peringkat daerah.

“Kempen itu juga akan dilaksanakan di premis awam yang lain termasuk di kompleks beli belah dan juga kiosk-kiosk perniagaan.

“Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk memastikan arah kiblat di semua premis tersebut adalah tepat dan tidak meragukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pemantauan penempatan tangki statik di lokasi kawasan terganggu bekalan air di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah hari ini.

Kempen itu juga akan diteruskan ke rumah-rumah dan premis persendirian bagi memberikan kesedaran kepada umat Islam berkaitan penentuan arah kiblat dengan tepat, katanya.

“Setakat ini, tiada lagi laporan diterima berhubung arah kiblat yang salah di negeri ini namun masyarakat disaran membuat semakan dan menghubungi Jabatan agama jika terdapat kekeliruan,” katanya.

Sementara itu, berkenaan dengan kawasan yang terjejas dengan bekalan air, pihaknya telah berhubung dengan Ranhill SAJ untuk menyelesaikan masalah yang berlaku terutamanya apabila tibanya musim perayaan.

Bagi penyelesaian sementara tangki statik telah diletakkan di kawasan yang terjejas dan pihaknya bersama Ranhill SAJ akan mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang.

“Kita dimaklumkan di kawasan sekitar Semerah dan Parit Sulong akan ada perancangan pembinaan tangki kekal bagi mengatasi masalah kira-kira 3,000 pemegang akaun Ranhill SAJ di kawasan ini.

“Masalah berkaitan dengan bekalan air ini juga akan dicari penyelesaiannya dan bukan sahaja di kawasan ini (Semerah dan Parit Sulong) tetapi di seluruh negeri,” katanya. – MalaysiaGazette