Kredit: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor

SHAH ALAM – Seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik di dalam lurang di susur keluar Laguna Park Pulau Indah dekat sini, petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata pihaknya menerima panggilan pukul 4.04 petang dan tiba 10 minit kemudian di lokasi kejadian.

Beliau berkata bagaimanapun, pasukan penyelamat perlu menunggu bantuan daripada pihak Tenaga Nasional Bhd (TNB) kerana masih ada arus elektrik di dalam lurang itu.

“Pada pukul 11.45 malam, pihak TNB telah menutup arus elektrik berkuasa 33 kilovolt (KV) dan mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dengan bantuan daripada kontraktor TNB yang menggunakan jentera backhoe pada 12.15 tengah malam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata mayat mangsa berusia 30-an itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

— BERNAMA