KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan pekeliling kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) agar sentiasa memantau keadaan cuaca dan membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Menurut kenyataan kementerian itu, pihak sekolah perlu bertindak segera dengan tidak membenarkan semua murid dan pelajar berada di luar bilik darjah.
“Bagi kawasan bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.
“JPN, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi bawah KPM juga diingatkan agar memantau aktiviti yang mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas,” kata kenyataan itu hari ini.
Dalam kenyataan itu, KPM menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan, selain perlu membawa minuman sendiri ke sekolah.
Selain itu, jika keadaan kritikal dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman, pihak sekolah perlu membekalkan air minuman kepada murid yang tinggal di asrama.
“Kita perlu sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik serta hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat cuaca panas.
“Semua institusi pendidikan dinasihati sentiasa mengikuti garis panduan ditetapkan, selain peka dengan perkembangan semasa melalui media mengenai fenomena berjerebu di kawasan atau daerah masing-masing,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette