Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang Asli ke-24 Tahun di Dewan Komuniti Orang Asli Gombak, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 20 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mendakwa partinya dihalang untuk merasmikan sebuah majlis melibatkan masyarakat Orang Asli, di Gombak, dekat sini, hari ini.

Dominic berkata, ia berdasarkan kepada satu e-mel daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang diterima pihak penganjur Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) agar membatalkan mesyuarat agung tahunan ke 24.

“Semalam jam 7.39 malam bahawa Setiausaha Agung POASM menerima maklumat untuk membatalkan kelulusan untuk menggunakan dewan ini dengan alasan bahawa jemputan perasmi bukan dalam kalangan pihak kerajaan.

“Saya nak tanya kepada JAKOA peraturan mana yang diwajibkan perasmi itu mesti daripada kalangan pihak kerajaan, jika peratuan itu diadakan kita memang terima, jika tidak ada jangan gunakan tekanan terutamanya kementerian untuk berikan tekanan kepada pembangkang, itu yang kita tidak boleh terima,” kataya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan itu, hari ini.

Dominic berkata, e-mel itu diberikan JAKOA pada 19 April lalu sebaik kelulusan menggunakan Dewan Komoniti Orang Asli Gombak diterima POASM.

Dominic dijemput sebagai orang kenamaan (VIP) bagi merasmikan mesyuarat agung tahun itu bersama-sama Presiden POASM, Majid Suhut.

“Saya minta maaf kepada POASM kerana mendapat tekanan dan saya ucapkan terima kasih kerana ikut proses dan prosedur yang sepatutnya.

“Saya tidak sangka kerajaan perpaduan sebegitu, bahawa program pembangkang dibatalkan tapi saya tidak sangka program NGO ini boleh dihalang, ini bukan program kerajaan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pihaknya dihalang daripada menghadiri beberapa majlis kerajaan persekutuan.

Sanusi berkata, beliau dihalang daripada menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA) yang akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei depan.

Malah dakwa beliau, majlis berbuka puasa dengan Anak-anak Kedah di perantauan turut dihalang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.