RANTAU PANJANG – Dengar sahaja ada keluarga miskin atau individu daif memerlukan bantuan, sepantas kilat lelaki ini sampai ke lokasi.
Tanpa cakap banyak, tanpa bersoal jawab, Amran Abdul Rahman terus menghulurkan bantuan sekadar yang mampu bagi meringankan beban individu berkenaan.
Kemudian, beliau menggunakan saluran komunikasinya dengan sahabat dan orang ramai meminta yang berkemampuan pakat membantu.
Begitulah rutin hidup Amran, 58, dalam menjalankan tanggungjawabnya membantu orang miskin dan mereka yang memerlukan.
Walaupun beliau bukan seorang kakitangan awam berjawatan tinggi atau kakitangan swasta bergaji besar tetapi dengan rezeki yang Allah beri kepadanya, ia dapat dikongsikan bersama pihak berkenaan.
Amran lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga bukan seorang ahli perniagaan, jauh sekali bergelar jutawan namun dengan rezeki yang berkat dapat dibahagikan kepada yang memerlukan.
Hidup Amran cukup sederhana, mempunyai keluarga sendiri yang perlu ditanggung namun mereka tidak pernah merungut apatah lagi melarang suami atau ayah mereka daripada berbuat kebajikan kepada orang lain.
Malah isteri dan anak-anaknya turut serta dalam usaha membantu orang yang memerlukan bantuan.
Amran lahir dan membesar dalam keluarga yang boleh dikatakan golongan berada kerana arwah ayahnya adalah mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Rantau Panjang.
Sungguh pun begitu, lelaki ini seorang yang sederhana, tidak bermegah dengan kedudukan ayahnya seorang wakil rakyat.
Dia boleh saja minta kerja yang selesa menggunakan pengaruh arwah ayahnya tetapi dia tidak berbuat demikian. Dia memilih untuk hidup berdikari tanpa menumpang populariti keluarga.
Penglibatan Amran dalam dunia kebajikan meletakkan dirinya lebih popular dan dikenali dalam kalangan komuniti miskin, kurang bernasib baik, daif, ibu tunggal, asnaf dan anak yatim.
Paling terkesan dalam hidupnya apabila mendapat perkhabaran kemalangan yang meragut nyawa seorang pelajar tahfiz dari Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Uzma baru-baru ini.
Sebelum itu dia baharu bersama dengan pelajar berkenaan dalam program membeli baju raya di sebuah pasar raya borong di Kota Bharu, Kelantan.
Tiba-tiba, katanya, dia dimaklumkan seorang dari 11 pelajar yang menaiki van itu terlibat dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
Kemalangan berlaku apabila tayar van yang dinaiki mereka tiba-tiba meletup dan kenderaan itu terbabas dalam parit.
Pelajar yang maut ialah Wan Ahmad Izat berumur 12 tahun dan berasal dari Kampung Chiku 7, Gua Musang.
“Sepatutnya pada hari kejadian, pelajar tahfiz ini akan hadir program Tajamakan Bulanan anjuran Restoran Srikandar Banggol dan selepas iftar mereka akan solat Maghrib berjemaah.
“Bagaimanapun, pagi itu mereka berkunjung ke Mydin Tunjung untuk beli baju raya tajaan seorang hamba Allah dan selepas beli baju raya mereka pulang ke maahad sebelum kemalangan berlaku,” katanya sedih.
Namun beliau tetap tabah kerana penghuni syurga itu pergi meninggalkan mereka pada hari dan bulan yang mulia dan sangat dicemburui umat Islam.
Berbalik kepada kisah kebajikannya, Amran memberitahu, dia selalunya mendapat makluman mengenai kesusahan hidup seseorang individu sama ada individu itu sendiri menelefonnya atau menerusi rakan.
Amran juga turut berkongsi pengalaman dengan janji pihak tertentu untuk membantu komuniti memerlukan, tetapi terus hilang atau senyap selepas itu.
Walaupun tidak mahu bercerita lebih lanjut perkara yang dihadapi itu, Amran berharap pihak berkenaan terbuka pintu hati dan diberi hidayah oleh Allah untuk meninggalkan sifat munafik dan riak yang bersarang dalam diri.
Sebaliknya, beliau mahu golongan berkenaan menunaikan janji yang ditabur kepada orang yang memerlukan bantuan atau sumbangan.
“Tidak baik kita berjanji nak bantu tetapi kita tidak tunaikan janji itu. Bayangkan, orang yang memerlukan bantuan itu menunggu dan mengharapkan ianya sampai dan dapat meringankan bebannya.
“Sebab itu, kalau kita merasa tidak mampu untuk mengotakan janji, jangan sekali-kali kita membuat janji,” kata Amran.
Menurut Amran, selagi kudratnya diperlukan, selagi itu dia akan terus berkhidmat kepada komuniti yang memerlukan. – MalaysiaGazette