Perodua Axia serba baharu yang diperkenalkan pada 14 Februari lalu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Perodua Sales Sdn. Bhd, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Kedua Sendirian Berhad (Perodua) memberi jaminan kereta Perodua Axia baharu selamat untuk dipandu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, berikutan itu tiada panggilan semula akan dilakukan dan tiada pemberhentian penghantaran model baharu itu.

“Kami telah diberi jaminan bahawa pensijilan UN-R95 yang diberikan kepada Perodua Axia model baharu tetap sah dan diperakui walaupun Daihatsu membuat pendedahan sedemikian,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Daihatsu Co. Ltd. pada Jumaat lalu berhubung ‘ketidakaturan prosedur’ ujian membabitkan empat model, termasuk Perodua Axia baharu.

Terdahulu laporan media menyatakan Daihatsu Motor Company, anak syarikat Toyota Motor didakwa mengakui menipu dan memalsukan keputusan ujian keselamatan kemalangan melibatkan bahagian panel sisi pintu bagi 88,000 unit kereta yang dijual di bawah jenama Toyota.

Syarikat itu mengesahkan kemasan pintu diubah suai dengan sebuah ‘takik’ (notch) untuk meminimumkan risiko panel pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan.

Daripada 88,000 kenderaan itu, kira-kira 76,000 adalah model Yaris terutamanya untuk negara Thailand, Mexico dan Majlis Kerjasama Teluk (Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman) serta kira-kira 11,800 kereta Perodua Axia 2023 yang dijual di Malaysia.

Menurut Zainal Abidin, Daihatsu Co. Ltd telah dilantik dan dipertanggungawabkan oleh Perodua untuk menjalankan ujian keselamatan bagi Perodua Axia baharu di Jepun dan telah disaksikan oleh pihak berkuasa dan agensi yang relevan bagi tujuan penilaian pihak yang terbabit.

Tambah beliau, sebaik sahaja Perodua menerima berita mengenai ‘ketidakaturan prosedur’ oleh Daihatsu, syarikat  menghubungi pihak terbabit untuk mengenalpasti sama ada standard keselamatan Perodua Axia baharu turut terjejas atau sebaliknya.

“Kami memohon maaf di atas segala kekeliruan yang berlaku kepada para pelanggan kami berhubung perkara ini dan kami memberi jaminan bahawa segala maklumat keselamatan dan spesifikasi semua model kenderaan Perodua adalah diperakui badan profesional,” ujarnya.

Zainal Abidin berkata, syarikat akan terus memantau situasi tersebut dan akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai.

Jelas beliau, Perodua sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan pelanggan dan akan terus berbuat demikian sebagai sebahagian daripada amalan dalam menjangkaui setiap jangkaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast