KUALA LUMPUR – Dakwaan dan persepsi negatif yang dilontarkan segelintir pihak berkaitan penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani ternyata tidak benar serta omongan kosong sahaja.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Agus Yusoff, semua tetamu yang hadir bergaul mesra tanpa mengira parti atau kecenderungan politik, agama, kaum dan darjat, sama ada kaya atau miskin.
Katanya, beliau sendiri menyaksikan situasi itu ketika menghadiri acara tersebut di Kedah kelmarin.
“Pengajuran acara seumpama ini sebenarnya berupaya meredakan suhu kebencian politik dalam kalangan rakyat.
“Saya turut hadir di Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama PM di Kedah. Bukan hanya saya yang gembira, rakyat yang datang juga turut gembira.
“Majlis ini bukan program VVIP, bukan program kempen politik, tetapi majlis meraikan rakyat, daripada rakyat dan untuk rakyat,” katanya dalam laman sosial beliau.
Sejak hebahan acara Rumah Terbuka Madani pelbagai kritikan dan persepsi negatif, khususnya dari blok pembangkang yang menyifatkan ia sebagai satu pembaziran ketara.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini dipetik sebagai berkata, penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri mencemar hari kebesaran agama kerana bermotifkan politik.
Dakwa Takiyuddin, retorik kononnya Pas dan Perikatan Nasional (PN) menunggang agama demi politik sudah berbalik kepada kerajaan Pusat.
Tegas beliau, majlis sambutan bersiri itu juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara kerajaan Pusat dan semua negeri terbabit, dari segi wibawa serta bidang kuasa masing-masing.
Selain Kedah, Rumah Terbuka Malaysia Madani turut diadakan di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei) dan Kelantan (12 Mei), manakala Terengganu dan Selangor berkongsi tarikh yang sama iaitu 14 Mei.
Kata Mohammad Agus, kemeriahan ditonjolkan pada acara tersebut jelas membuktikan ia bukan satu pembaziran.
“Mana mungkin amalan mulia memberi makan dan menyantuni rakyat marhaen satu pembaziran. Lagi mulia kerana ia menyambung silaturrahim sesama insan, hanya setahun sekali.
“Berjayakah program Rumah Terbuka? Jika ribuan yang hadir, tentunya berjaya. Malah, majlis adalah promosi terbaik bagi negeri Kedah,” katanya. -MalaysiaGazette