Alexander Nanta Linggi mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kerja jambatan bagi projek menaik taraf Jambatan Sultan Ahmad Shah dari dua lorong kepada empat lorong di Temerloh hari ini.

TEMERLOH – Projek menaik taraf Jambatan Sultan Ahmad Shah di Temerloh kini telah mencapai 86 peratus kerja-kerja pembaikan seperti dijadualkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut dilaporkan berjalan lancar di mana tiada sebarang kelewatan malah ia awal empat hari daripada dijadualkan sehingga kini.

Projek bernilai RM102 juta itu dijangka akan beroperasi pada 31 Ogos 2024 kini dalam proses kerja stitching atau penyambungan segmental box girder jambatan berkenaan.

Difahamkan kerja- kerja stitching tersebut merupakan prosedur akhir bagi penyiapan komponen segmental box girder secara in-situ sebelum proses pembinaan seterusnya dapat dimulakan.

”Projek naik taraf jambatan daripada dua lorong kepada empat lorong adalah sebahagian dari solusi untuk menyelesaikan isu bottle neck serta kesesakan trafik di jambatan sedia ada terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan selain meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Laluan FT002 terlibat.

”Projek ini telah diluluskan di bawah peruntukan pembangunan Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kesebelas (RP3, RMKe-11) Tahun 2020,”  katanya ketika membuat lawatan kerja di jambatan berkenaan hari ini.

Hadir sama Timbalan ketua Setiausaha Sektor Dasar dan Pembangunan, Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Pengarah Kanan Cawangan Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir. Ibrahim Esa serta Pengarah JKR Pahang, Datuk Hafizah Zakaria.

Menurut Alexander, kaedah perolehan projek berkenaan secara tender terbuka di mana pembinaan projek telah dimulakan pada 10 September 2020.

Selain itu, laluan jambatan berkenaan bakal dimanfaatkan oleh 10,000 pengguna jalan raya dan kenderaan setiap hari di laluan utama dan sibuk di daerah itu.

Antara skop kerja utama projek adalah membina jambatan baharu bersebelahan jambatan sedia ada berukuran 655 meter (m) panjang dan 11.5 m lebar, menaik taraf jalan tuju sepanjang 1.5 km, menaik taraf dan membina sistem saliran, pemasangan lampu dan perabot jalan pengambilan tanah dan pengalihan utitili.

Tambahnya, keistimewaan projek ini ialah decking system daripada segmental box girder (SBG) sepanjang 200 m yang digunakan pada rentang utama jambatan (span4) tersebut di mana ianya merupakan segmen antara yang terpanjang di Malaysia.

“Lebih membanggakan keseluruhan proses reka bentuk dilaksanakan sepenuhnya oleh tenaga kepakaran tempatan dari JKR sendiri.

“Kerajaan melalui agensi-agensi teknikal sedia ada mempunyai kepakaran dan mampu bersaing dengan negara luar sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada khidmat pakar atau tenaga kerja asing dalam merealisasikan matlamat Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette