Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Syarikat pengimport telur, J&E Advance Tech Sdn Bhd dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi di sini supaya menggunakan perkhidmatan ‘gantian’ bagi menyerahkan surat tuntutan saman mereka kepada bekas menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan selepas firma guaman bagi syarikat pengimport telur itu tidak berjaya menyerahkan surat saman fitnah kepada Mohamed Azmin sendiri baru-baru ini.

Peguam mewakili J&E Advance Tech, Elyse Ng berkata, walaupun telah cuba berkali-kali syarikat itu tidak dapat menyerahkan salinan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada bekas Ahli Parlimen Gombak itu.

Untuk makluman, perkhidmatan gantian membenarkan penghantaran dokumen mahkamah melalui pengiklanan atau cara lain untuk menarik perhatian defendan terhadap prosiding mahkamah, selalunya tindakan ini diambil apabila perkhidmatan peribadi tidak dapat dilaksanakan.

J&E Advance Tech Sdn Bhd sebelum ini menghantar surat tuntutan kepada Mohamed Azmin Ali dalam isu mengimport telur ayam melalui rundingan.

Mohamed Azmin sebelum ini mendakwa rundingan tersebut diperoleh ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Dalam surat yang dihantar melalui firma guaman Han & Zi, syarikat tersebut menuntut pemimpin Perikatan Nasional itu membayar ganti rugi sebanyak RM20 juta kerana mendakwa ia telah menjejaskan reputasi syarikat selain kos perundangan untuk prosiding.

J&E Advance Tech juga menuntut Mohamed Azmin menarik balik kenyataan selain memohon maaf terhadap dakwaan yang dilakukannya itu serta berjanji tidak mengulanginya.

Dalam tuntutan syarikat itu, mereka mempersoalkan ucapan Mohamed Azmin di Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu yang mana  sebahagian daripada ucapannya mendakwa Deepak telah memperoleh kontrak untuk mengimport telur ayam melalui rundingan terus.

Kerajaan telah meluluskan pengimportan telur ayam dari India sehingga Jun ini dalam usaha menangani masalah kekurangan bekalan di pasaran tempatan.

Dua hari selepas kenyataan Mohamed Azmin itu, J&E Advance Tech menafikan  syarikatnya memperoleh kontrak melalui rundingan terus dan menuntut pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu membuat kenyataan pembetulan dalam tempoh 72 jam.

Sebelum ini, syarikat sama telah memberi amaran akan menyaman Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong selepas Presiden MCA itu mempersoalkan harga dan kualiti telur import berbanding telur tempatan biasa di Parlimen.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, Ka Siong tidak boleh disaman kerana kenyataannya dibuat semasa prosiding Parlimen yang dilindungi di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, Deepak berkata, beliau tidak mempunyai kaitan dengan syarikat pengimport itu dan membuat laporan berhubung perkara tersebut terhadap Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette