Kim Pan Gon semasa lawatan teknikal ke kelab EPL West Ham di London baru-baru ini. Ihsan FAM

KUALA LUMPUR – Pasukan teknikal staf kejurulatihan Harimau Malaya telah mengadakan lawatan ke London, England.

Lawatan tersebut membabitkan Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon bersama pembantunya, Pau Marti Vicente serta jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Jihyeon Park dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun.

Kim Pan Gon bersama pengurus kelab David Moyes semasa lawatan teknikal ke kelab EPL West Ham di London baru-baru ini. Ihsan FAM

Sebelum ini, Pan Gon dan barisan kejurulatihan yang sama telah mengadakan lawatan teknikal ke beberapa kelab bola sepak La Liga.

Sepanjang tempoh seminggu berada di London, mereka berpeluang menyaksikan sesi latihan pasukan West Ham United kendalian David Moyes.

Pan Gon turut melawat kemudahan latihan kelab berkenaan serta bertemu beberapa pegawai dan staf kejurulatihan West Ham United termasuk Moyes.

pasukan teknikal Kim Pan Gon semasa lawatan teknikal ke kelab EPL West Ham di London baru-baru ini. Ihsan FAM

Selain itu, mereka turut mengadakan lawatan ke Brighton & Hove Albion dan bertemu beberapa staf teknikal dan kejurulatihan kelab berkenaan.

Sepanjang berada di London, Pan Gon dan staf kejurulatihan juga berkesempatan menyaksikan dua perlawanan Liga Perdana Inggeris membabitkan pertembungan antara West Ham United dan Liverpool serta aksi Brighton & Hove Albion menentang Wolverhampton Wanderers.

Kim Pan Gon semasa lawatan teknikal ke kelab EPL West Ham, Brighton dan Wolves di London baru-baru ini. Ihsan FAM

Selepas perlawanan, Pan Gon bertemu penyerang kebangsaan Korea Selatan, Hwang Hee-chan yang beraksi untuk Wolverhampton Wanderers sebelum kembali ke Malaysia semalam. – MalaysiaGazette