religion conversion Loh Siew Hong children P. Ramasamy
P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) tidak akan mencetuskan ‘gelombang hijau’ di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy berkata, tidak ada asas sama sekali hujah menyatakan projek itu mungkin mencetuskan kebangkitan Perikatan Nasional (PN).

“Saya tidak faham bagaimana gelombang hijau gabungan PN boleh dapat mengambil kesempatan daripada isu kelulusan yang diberikan kepada projek PSI.

“Kelulusan itu bersyarat, ia bukan sesuatu yang diberikan kepada Kerajaan Pulau Pinang dengan begitu sahaja.

“Seperti yang dikatakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang,  Chow Kon Yeow baru-baru ini, projek itu akan diteruskan untuk manfaat yang lebih besar rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menjelaskan, PSI bukan muncul secara tiba-tiba sebaliknya projek itu telah dibentangkan sebelum pilihan raya umum lalu.

Ramasamy mengakui PSI merupakan isu yang dapat mempengaruhi keputusan pilihan raya namun sokongan padu terhadap projek itu akan ‘menenggelamkan’ suara yang menentang.

“Banyak masa dan wang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri dan agensi terlibat dalam menangani masalah yang mungkin timbul disebabkan oleh projek penambakan secara besar itu.

“Kebimbangan utama adalah kesan terhadap kehidupan nelayan dan kebimbangan kesan kepada alam sekitar. Kebimbangan ini telah ditangani secara sebaiknya.

“Tetapi tentangan berterusan wujud bukan sahaja daripada NGO tetapi juga daripada parti pembangkang yang menentang projek itu. Mereka mahu projek itu dibatalkan tanpa menawarkan jalan alternatif lain,” kata Ramasamy.

Sementara itu Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, ‘gelombang hijau’ di negeri itu tidak sekuat seperti pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Gelombang hijau mungkin telah mendorong gabungan PN untuk mendapat lebih daripada 50 peratus sokongan orang Melayu pada pilihan raya umum lalu iaitu pada November tahun lalu.

“Bagaimanapun, sama ada ‘gelombang hijau’ itu masih kuat atau mempunyai sokongan yang sama pada bulan-bulan akan datang semasa pilihan raya negeri masih belum dapat dilihat.

“Tinjauan baru-baru ini di Pulau Pinang didapati bahawa ‘gelombang hijau’ PN mungkin tidak sekuat dahulu. Masa adalah penentu,” kata beliau.

Tambahnya, sokongan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan juga kelihatan agak memberangsangkan.

Kata beliau, tinjauan baru-baru ini menunjukkan terdapat banyak sokongan untuk pembangunan ekonomi di Pulau Pinang.

“Sudah tentu, sokongan majoriti Melayu masih untuk gabungan PN tetapi sokongan kepada PH mungkin semakin meningkat.

“Malangnya, sokongan orang Melayu terhadap UMNO mungkin dalam keadaan yang sama,” kata Ramasamy.- MalaysiaGazette