The public start to visit shops selling telecommunications devices in Low Yat Plaza, Kuala Lumpur after the government allows them to operate throughout the National Recovery Plan (PPN). PIX: SYAFIQ AMBAK / Malaysiagazette / 16 JULY 2021
Gambar hiasan

Saya merujuk kepada laporan akhbar tempoh hari – Malaysia duduki tangga pertama dalam kebocoran nombor telefon bimbit.

Pernyataan ini cukup-cukup membimbangkan, dengan lebih 21 juta orang atau 73 peratus pengguna yang terkesan; nombor telefon bimbit mereka dibocorkan atau dijual kepada sindiket penipuan atas talian.

Malaysia kini juara kebocoran data, mengatasi negara-negara maju seperti Taiwan, Jepun, Thailand, serta Korea Selatan.

Berdasarkan Laporan Penipuan Tahunan Gogolook 2022 yang meneliti kebocoran maklumat sulit dan operasi huluan dalam rantaian industri sindiket penipuan dalam talian di beberapa negara, selain nombor telefon bimbit, antara kebocoran maklumat sulit utama adalah kata laluan log masuk dan nama. Ini diikuti dengan alamat, negara, tarikh lahir dan kebocoran e-mel.

Laporan ini turut mendedahkan kepada kita semua bahawa syarikat pengendali telekomunikasi negara seharusnya mempergiat usaha serta tumpuan mereka di dalam memastikan keselamatan data pengguna tidak terjejas.

Pencerobohan data peribadi seperti ini membuka ruang kepada sindiket penipuan atas scammer untuk menyusup ke dalam akaun perbankan dalam talian serta rangkaian media sosial pengguna, meningkatkan risiko bagi kes-kes penipuan dan kecurian wang.

Namun begitu, kelihatan syarikat pengendali telekomunikasi di Malaysia lebih cenderung untuk fokus kepada keuntungan syarikat masing-masing, apabila tular berita berkenaan gesaan pengendali telekomunikasi negara untuk bersaing membina rangkaian 5G masing-masing.

Persatuan GSM atau lebih dikenali sebagai GSMA sebuah persatuan pengendali telekomunikasi antarabangsa telah mengeluarkan kenyataan menggesa Kerajaan Malaysia membenarkan pengendali telekomunikasi membangunkan rangkaian 5G sendiri. Ini bertujuan untuk mewujudkan persaingan yang sihat serta mempertingkat penggunaan teknologi 5G negara.

Presidennya, Julian Gorman berkata “Putrajaya seharusnya mengamalkan dasar yang fleksibel serta responsif, dan mengekalkan keneutralan teknologi. Ini akan memberi peluang kepada syarikat pengendali untuk memberi perkhidmatan kepada pengguna tanpa kekangan kepada peralatan dan infra, di samping menambah daya saing dan inovasi di kalangan pelaku industri 5G.”

Kenyataan GSMA ini sedikit sebanyak bercanggah dengan apa yang kita telah pelajari dari episode 3G dan 4G di Malaysia, serta tidak bertepatan dengan senario pengguna di negara Malaysia.

Sampai ke hari ini, setelah lebih 15 tahun dilaksanakan, liputan 4G negara masih tidak menyeluruh, dan terdapat segenap golongan masyarakat yang masih tiada akses telefon, mahupun internet.

Perkhidmatan internet berasaskan spektrum dengan infrastruktur menara telekomunikasi yang dipacu oleh pengendali telekomunikasi lebih cenderung untuk menumpukan pembangunan infrastruktur di kawasan bandar dan berkepadatan tinggi – di mana permintaan pengguna yang lebih berkemampuan adalah lebih tinggi berbanding luar bandar.

Akibatnya, rakyat di kawasan pedalaman dan di luar bandar terhalang aksesnya kepada kemudahan internet, meluaskan lagi jurang teknologi dan digital antara rakyat.

Agak janggal dan pelik apabila GSMA, sebuah badan antarabangsa yang tidak berpengkalan dan tiada kepentingan di Malaysia, dikepalai oleh warga Australia Julian Gorman berbicara dengan mendalam tentang keperluan rakyat, walhal tidak pernah tinggal dan mengalami pengalaman mobil dan internet di Malaysia.

Tindakan ‘u-turn’ GSMA turut menimbulkan persoalan dan menduga kredibiliti persatuan itu kerana pada awal pelaksanaannya, GSMA merupakan antara penyokong terawal model Single Wholesale Network oleh Digital Nasional Berhad, dan kini tatkala pelaksanaannya masih berlangsung, organisasi itu secara terang-terangan memberikan cadangan yang bercanggah.

Berbalik kepada perkhidmatan serta keselamatan data pengguna, tidak banyak yang dapat kita banggakan dengan kedudukan atau peranan syarikat pengendali telekomunikasi pada saat ini, dengan ribuan aduan perkhidmatan yang terganggu serta jutaan data peribadi yang telah dibocorkan, syarikat pengendali perlu mempergiat serta menggembleng usaha mereka bagi memastikan kepuasan dan keselamatan data pengguna terjamin dan berada di tahap yang memuaskan.

Syarikat pengendali melaporkan keuntungan ratusan juta setiap tahun, namun para pengguna terus terbeban dengan kualiti dan liputan perkhidmatan yang tidak setara.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Komunikasi & Digital seharusnya memberi lebih perhatian kepada tahap perkhidmatan syarikat pengendali telekomunikasi dari semasa ke semasa, dengan memberi keutamaan kepada permintaan dan keperluan rakyat, dan bukannya poket-poket pengendali telekomunikasi yang sudah penuh.

Rahman Husin

Rahman Husin adalah Penganalisa dan perunding strategi