Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan 2023 di Kem Kementah, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah memulakan siasatan dalaman berhubung insiden seorang pelatih menjadi mangsa buli di Pusat Latihan Akademi TUDM di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pada masa sama polis turut melakukan siasatan berikutan pasukan keselamatan itu menerima aduan daripada keluarga mangsa.

“Setakat laporan yang diterima daripada Panglima TUDM dan juga laporan daripada bilik operasi kami, pihak polis telahpun mendapat laporan daripada ayah kepada mangsa yang dikatakan telah dibuli.

“Pihak polis telah pun datang masuk dan mula menyiasat dalam kawasan Pusat Latihan Tentera Udara yang terletak di Kuantan,” katanya selepas majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, seorang wanita tampil meluahkan perasaan dan menuntut keadilan berhubung keadaan adik lelakinya yang didakwa menjadi mangsa buli di sebuah pusat latihan tentera udara pada Isnin.

Wanita berkenaan berkongsi luahan tersebut melalui akaun Twitter @ummiiiiinmo dan turut berkongsi gambar beberapa anggota tentera berpangkat koperal yang didakwa membuli adik lelakinya itu ketika menjalani latihan.

Menurut Mohamad, TUDM kami memberi kerjasama kepada polis dalam siasatan tersebut dan siasatan dalaman pihaknya dilakukan dengan teliti serta telus dan tindakan akan diambil kepada mereka yang terlibat. – MalaysiaGazette