Tular satu rakaman video  seorang lelaki mendakwa dirinya anggota polis yang menjadi samseng jalanan dalam kejadian di Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE), menghala ke Ulu Klang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tular satu rakaman video  seorang lelaki mendakwa dirinya anggota polis yang menjadi samseng jalanan dalam kejadian di Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE), menghala ke Ulu Klang di sini baru-baru ini.

Video berdurasi satu minit 20 saat itu memaparkan lelaki yang memandu bersama anaknya sempat menunjukkan sekeping kad seakan kad polis kepada pemandu kenderaan yang merakamnya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, semakan mendapati satu laporan polis diterima pihaknya dalam kejadian kelmarin dan mendapati lelaki itu seorang polis bantuan.

Katanya, mangsa mendakwa pemandu kereta jenis Honda City memandu secara merbahaya dan cuba menganggu perjalanannya semasa kejadian tersebut.

“Suspek bertindak mengeluarkan sebuah kad seperti kad polis dan menunjukkan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ashari, pada masa yang sama, pemandu kereta jenis Honda City tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya semalam.

Siasatan awal mendapati pemandu tersebut merupakan seorang anggota polis bantuan di sebuah bank dan turut hadir membuat laporan tentang kejadian yang sama.

“Pemandu tersebut mendakwa mangsa telah mengganggu laluannya tanpa memberikan lampu isyarat kereta mengubah haluan atas jalan raya.

“Disebabkan itu, pemandu itu bertindak menunjukkan kad kuasa polis bertujuan agar mangsa menghentikan kenderaannya,” katanya.

Menurut Ashari, kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Majistret (RKM) dan pihaknya akan merujuk kepada agensi polis bantuan berkenaan untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta agar menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bagus lah..begitu bila kad kuasa dan kuasa kuasa polis disalah guna dan tidak tahu membezakan kuasa mutlak polis dgn kuasa polis bantuan. KDN patut review balik pemberian kuasa ini kepada mereka

Comments are closed.