Wadi Anuar

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar mencabar Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) untuk menyamannya berhubung kenyataan jabatan itu tidak memberikan kerjasama.

Ustaz Wadi Annuar bagaimanapun berkata, segala kenyataan yang diberikan beliau adalah benar dan sanggup untuk berdepan tindakan undang-undang.

“Malam tadi kenyataan media oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis berkaitan siasatan terhadap saya pada 2 Mei lalu.

“Dalam perenggan kedua, JAIPs dalam kenyataan media memaklumkan kenyataan saya pada 2 Mei adalah jauh tersasar daripada realiti sebenar yang berlaku di JAIPs.

“Malah saya pada hari ini menegaskan kenyataan kami benar dan sekiranya JAIPs yakin bahawa kenyataan kami jauh tersasar daripada realiti sebenar, kami cabar JAIPs pada hari ini menyaman sivil terhadap mana-mana individu yang terlibat ataupun terhadap saya sendiri,” katanya dalam rakaman video di Twitternya, hari ini.

Beliau membuat kenyataan itu berdasarkan laporan media mengenai kenyataan Pengarah JAIPs, Najmuddin Abdul Karim yang menyifatkan Mohamad Wadi Annuar yang mendakwa jabatan itu tidak memberi kerjasama ketika beliau hadir sesi siasatan semalam, jauh tersasar.

Najmuddin dalam satu kenyataan hari ini berkata, Mohamad Wadi Annuar telah hadir ke JAIPs semalam bagi tujuan siasatan, namun kenyataan pendakwah bebas itu gagal diambil.

Ini kerana katanya, Mohamad Wadi Annuar telah keluar dari bilik siasatan dan menghilangkan diri tanpa sebarang makluman.

“Kenyataan Wadi bertarikh 2 Mei 2023 adalah jauh tersasar dari realiti sebenar yang berlaku di JAIPs.

“Berdasarkan pertemuan itu, Wadi gagal memberikan kerjasama sepertimana ditetapkan JAIPs.

“Jabatan ini akan meneruskan kes berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada yang sedang berkuatkuasa dalam negeri Perlis,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam Mohamad Wadi Annuar memaklumkan telah hadir pada jam 10.30 pagi di pintu pagar pejabat JAIPs bersama barisan peguam untuk sesi siasatan berkenaan.

Bagaimanapun beliau mendakwa berlaku pertelingkahan apabila hanya seorang peguam dan dirinya sahaja dibenarkan masuk.

“Apabila berhujah, mereka menyatakan bahawa enakmen mereka tidak membenarkan lebih daripada dua orang masuk bagi tujuan siasatan.

“Namun seorang pegawai JAIPs memaklumkan bahawa dua peguam dan saya dibenarkan masuk selepas mendapat arahan daripada pihak atasannya,” katanya.

Mohamad Wadi Annuar mendakwa, mereka dibiarkan menunggu beberapa ketika selepas masuk di bahagian penguatkuasa sebelum dipanggil ke dalam bilik siasatan.

“Telah berlaku lagi pertelingkahan antara dua pegawai JAIPs dengan barisan peguam lalu mereka telah mengarahkan peguam keluar dari bilik siasatan, yang mana perkara ini dibantah oleh saya,” katanya.

Beliau juga mendakwa tiada soalan dikemukakan dalam tempoh kira-kira setengah jam menunggu, sekali gus ia hanya membuang masa peguam serta dirinya. – MalaysiaGazette