Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ramli Kasa. Foto: Fb Polis Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang wanita direman lima hari bermula semalam hingga Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung kes amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya berusia 14 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata suspek berusia 33 tahun itu direman bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 14 dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau berkata wanita itu ditahan di kediamannya di Puncak Alam, Shah Alam, Selangor pada Selasa lepas selepas polis menerima laporan daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang mendapat maklumat mengenai perbuatan itu menerusi sebuah video yang diperoleh daripada individu tidak dikenali.

“Sejurus laporan dibuat, pasukan polis telah menahan wanita itu dan merampas telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk merakam video berkenaan.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan anak ketiga daripada lima beradik. Kejadian itu dipercayai berlaku di dalam bilik di rumah suspek pada November tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama TV hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suami wanita terbabit sedang menjalani hukuman penjara manakala wanita itu negatif terhadap dadah.

Ramli berkata kesemua anak suspek yang berusia sembilan hingga 17 tahun kini berada di bawah jagaan JKM.- BERNAMA