KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk memenangi secara majoriti kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung kurang tiga bulan lagi dari sekarang.
Kemenangan itu berpihak kepada BN atas beberapa faktor termasuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan sokongan daripada pengundi.
Perkara itu dijelaskan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Selayang, Mohd Shukry Roslan berdasarkan penelitiannya terhadap kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pada tahun 2019.
Katanya, kajian IDE itu menunjukkan 49 peratus daripada penyokong PH bersedia memilih BN sebagai pilihan kedua mereka jika berlaku pertandingan antara BN dengan Perikatan Nasional (PN).
“Ini adalah peluang baik bagi BN untuk mendapatkan sokongan daripada penyokong PH terutama di Selangor manakala sokongan pengundi atas pagar kepada BN juga diperkukuhkan oleh faktor imej PN yang tercalar dengan skandal rasuah pemimpinnya serta skandal merasuah pengundi oleh Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu,” katanya yang dipetik UMNOOnline.
PRN ini melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Menurut Mohd Shukry lagi, kajian Institut Penyelidikan Sosial Malaysia (IPSOS) pula menunjukkan pengundi di Selangor kini lebih mengutamakan kepercayaan dan integriti calon berbanding faktor parti politik atau isu lain.
Ini katanya, memberikan kelebihan kepada BN yang mampu memperoleh sokongan pengundi dengan calon berimej baik.
“Namun, BN tentunya tidak mengambil mudah dan memahami akan menghadapi cabaran yang besar dalam PRN ini.
“Apatah lagi PN masih mendominasi media sosial dengan mempengaruhi pengundi muda yang membentuk sebahagian besar daripada segmen pengundi.
“Ini memerlukan BN untuk melibatkan diri dengan lebih aktif dalam media sosial dan menonjolkan wajah baharu serta muda sebagai calon mereka,” katanya.
Katanya lagi, menjelang PRN juga, BN harus mempunyai strategi terbaik untuk memenangi hati pengundi dengan mengambil kira faktor penting seperti imej calon, isu yang relevan serta menampilkan muka baharu dan segar.
Paling penting, ujar beliau, strategi efektif dalam penggunaan media sosial untuk mempengaruhi pengundi muda. – MalaysiaGazette