Mohd Hairi meninjau rumah penduduk Kampung Melayu Majidee yang rosak teruk akibat hujan dan ribut, semalam.

KUALA LUMPUR – Hujan lebat dan ribut petir yang melanda beberapa kawasan di Johor Bahru semalam menyebabkan banyak rumah serta kenderaan rosak.

Serentak itu, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri mewujudkan pusat gerakan di Dewan Kampung Melayu Majidee untuk mengumpul maklumat mangsa yang terkesan.

Menurut exco berkenaan, Mohd Hairi Mad Shah, pusat gerakan itu dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Johor Bahru untuk tindakan dan bantuan kepada mangsa.

“Ketika mengadakan perjumpaan bersama agensi di bawah portfolio belia petang tadi (semalam) saya menerima laporan kejadian ribut di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

Bumbung rumah penduduk Kampung Melayu Majidee tercabut dalam kejadian ribut semalam.

“Saya sempat ke beberapa kediaman terjejas di Jalan Sahabat, Jalan Muafakat dan Jalan Rahmat melihat sendiri rumah yang teruk terkesan dengan kejadian ribut. Ada juga yang hilang bumbung sehingga rumah dimasuki air.

“Bersama saya ketika lawatan juga ialah Pegawai Daerah Johor Bahru, Muzaldin Mohamed, wakil Pusat Khidmat Parlimen Johor Bahru, Ketua Kampung dan pemimpin masyarakat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya semalam.

Kata Mohd Shah, satu mesyuarat penyelarasan dibuat secara tergempar dipengerusikan pegawai daerah bersamanya selaku ADUN Larkin, Datuk Bandar Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman serta semua agensi berkaitan.

“Insya-Allah, kita sama-sama doakan semua urusan mangsa yang terkesan ini dipermudahkan dan bantuan segera dapat diberikan bagi meringankan bebanan yang ditanggung,” katanya. – MalaysiaGazette