KOTA KINABALU – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, sama ada seiring jajaran politik atau tidak, perlu diperkukuh demi kepentingan rakyat keseluruhannya.
Beliau berkata Kerajaan Perpaduan yang dibentuk ketika ini mempunyai makna lebih besar dalam memacu kemajuan dan pembangunan negara, justeru, perbezaan politik perlu diketepikan kerana ia hanya akan menimbul ketidakstabilan seperti yang berlaku pada penggal sebelumnya.
“Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk, malah negara Malaysia MADANI yang kita sama-sama dukung harus diberi keutamaan, yang penting soal kemajmukan rakyat di negara ini.
“Kini, kita sama-sama bentuk kerajaan di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dukungan 19 parti yang berbeza,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Sabah yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata Kerajaan Perpaduan yang ada harus diperkukuhkan dengan pelbagai polemik politik ditamatkan dan isu-isu baharu tidak ditimbulkan.
“Ini untuk membentuk (Malaysia) menjadi sebuah negara yang stabil politiknya dan pertumbuhan ekonominya semakin rancak kerana kita mahu pelaburan masuk. Pertumbuhan ekonomi (negara) perlu diberikan keutamaan kerana yang penting adalah kesejahteraan rakyat, bukan lagi masalah politik.
“Kerajaan yang ada sekarang ini adalah kerajaan stabil dengan 148 Ahli Parlimen yang mendukung,” katanya.- BERNAMA