Ketua UMNO Bahagian Tg Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak di Seksyen 7, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 04 MEI 2023.

SHAH ALAM – Hasrat bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menjadikan Tanjong Karang sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) sebenarnya sudah bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak mendedahkan, hasrat Noh itu tidak mengejutkan kerana banyak tindakannya merugikan parti termasuk tidak berkempen untuk calonnya, Datuk Habibah Mohd Yusof.

“Kalau beliau kata nak kuatkan PN, nak kuburkan Barisan Nasional (BN) di Tanjong Karang, saya tak terkejut kerana beliau sudah berusaha ke arah itu pada PRU15 lepas.

“Kalau kata Tan Sri Noh berusaha nak perkukuhkan Perikatan Nasional (PN), nak jadikan kubu kuat PN di Tanjong Karang sebenarnya usaha ini dia sudah mulakan pun sewaktu PRU15 lepas

“Beliau sendiri tak turun langsung berkempen di Parlimen sendiri sedangkan beliau Pengarah Jentera Parlimen Tanjong Karang, beliau Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang.

“Beliau lebih banyak masa (kempen) di Parlimen lain walaupun BN tanding 11 Parlimen tapi sebagai pengerusi perhubungan, beliau kena pergi, kubu sendiri sepatutnya diberi keutamaan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Ahad lalu, MalaysiaGazette melaporkan Noh nekad untuk menjadikan Parlimen Tanjong Karang dan Selangor sebagai kubu kuat PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Jun ini.

Noh secara terbuka mengakui kini beliau sendiri akan memastikan UMNO dan BN tumbang di Parlimen Tanjong Karang setelah usaha beliau hampir 30 tahun dipersiakan parti itu.

Sulaiman memberitahu, tindakan Noh hanya menguntungkan PN apabila beliau menyerang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka selepas namanya digugurkan daripada senarai calon BN pada PRU15.

“Dalam BN, usah kata enam penggal, berapa pemimpin di peringkat bahagian, nasional yang berpotensi, berkemampuan dan berkeupayaan sampai bersara, tak dapat langsung menjadi calon pilihan raya sampai pencen.

“Ramai wakil rakyat dapat sepenggal, berkhidmat dengan baik, prestasi baik, rekod kerja baik tetapi penggal kedua digugurkan tak jadi calon, baik ahli Parlimen mahu pun ADUN.

“Tapi tak pula kita dengar orang yang dapat sepenggal ini mengamuk dan sokong parti lawan,” katanya

“Allahyarham Datuk Saidin Adam dapat sepenggal sedangkan beliau berkhidmat cemerlang dan tempatnya diambil alih oleh Tan Sri Noh, tak ada pun dia (mengamuk), mungkin rasa kecewa, tidak pula beliau buat gerakan mengalahkan UMNO sendiri,” katanya.

Sulaiman juga mempersoalkan ke mana perginya slogan pemimpin terdahulu yang menasihatkan ahli-ahli UMNO Tanjong Karang agar menerima siapa sahaja calon pilihan raya dan memenangkan parti.

“Setiap kali perjumpaan tertutup di peringkat kepimpinan akar umbi UMNO di Tanjong Karang, laungan yang biasa kita dengar mengatakan, siapa pun jadi calon, kita mesti sokong, siapa pun jadi calon BN kita wajib sokong.

“Saya masih ingat sampai buat akujanji, semua kepimpinan UMNO Tanjong Karang bahawa siapa pun jadi calon, kita mesti sokong, bekerja bukan untuk saya tapi bekerja untuk BN.

“Apabila kita sendiri diuji, di situ ujian kepimpinan yang besar sebenarnya, kalau kita betul-betul pemimpin dan orang parti sejati sepatutnya kena buktikan,” katanya.

“Tetapi kita sedia maklum PRU15 lalu, di mana beliau berada di pentas mana dan naratif apa yang dibawa, akhirnya kita kehilangan kerusi Parlimen Tanjong Karang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tanjong Karang kubu kuat UMNO bukan kerana Noh seorang – Sulaiman