Datuk Sulaiman Abdul Razak
Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak di Seksyen 7, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 04 MEI 2023.

SHAH ALAM – Parlimen Tanjong Karang yang sebelum ini menjadi kubu kuat UMNO lebih 30 tahun bukan kerana keperibadian seseorang pemimpin termasuk bekas ketua bahagiannya, Tan Sri Noh Omar semata-mata.

Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, sebaliknya kekuatan parti itu yang bertahan sebagai kubu kuat di Parlimen sebelah utara Selangor itu kerana kekuatan dan sokongan akar umbinya.

“Kalau Tan Sri Noh nak tuntut (kubu kuat UMNO) atas usaha beliau berseorangan, saya tak boleh bersetuju, ia bukan sahaja di atas kekuatan kepimpinan sahaja sebaliknya daripada kekuatan akar umbi.

“UMNO Tanjong Karang tidak dibina dalam tempoh singkat, ia dimulakan oleh wakil rakyat dan pemimpin terdahulu termasuk Allahyarham Datuk Kamaruzaman (enam penggal), Datuk Abdul Shukur Siraj dan Datuk Aziz Desa.

“Selepas itu, Datuk Aini Taib kemudian Dr Mohamad Khir Toyo dan barulah sampai kepada Tan Sri Noh Omar. Pada dasarnya, UMNO Tanjong Karang tak pernah kalah pun sebelum ini kerana kita mempunyai majoriti kukuh,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Noh nekad untuk menjadikan Parlimen Tanjong Karang dan Selangor sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Jun ini.

Noh secara terbuka mengakui kini beliau sendiri akan memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tumbang di Parlimen Tanjong Karang setelah usaha beliau hampir 30 tahun dipersiakan parti itu.

Dalam pada itu, Sulaiman menyangkal dakwaan Noh kononnya bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO itu yang menjadikan Parlimen Tanjong sebagai kubu kuat parti sejak enam penggal menjadi wakil rakyat.

“Kesemua 97 cawangan UMNO inilah sebenarnya yang membentuk kekuatan UMNO di Parlimen Tanjong Karang. Kekuatan ahli UMNO sebenarnya menjadikan beliau (Noh) boleh dapat tempat hampir 30 tahun bukan kerana kekuatan beliau berseorangan tetapi juga kerana sokongan di peringkat bahagian,” katanya.

Sulaiman juga mendedahkan, walaupun banyak masalah timbul dalam pentadbiran Noh sebelum ini namun sikap bertolak ansur membolehkan parti itu terus kuat dan menang dengan majoriti besar di kawasan itu.

“Kenapa UMNO itu kuat di Tanjong Karang? Ini kerana kita banyak bertolak ansur, banyak masalah sebenarnya dalam bahagian kita tetapi kita letak bawah karpet, sebab kita letak kekuatan itu lebih utama.

“Semasa saya jadi ADUN, banyak perkara saya tidak bersetuju. Saya menjadi seorang timbalan, naib, penyokong yang baik kepada beliau (Noh).

“Walaupun saya tidak bersetuju (dengan Noh) tapi saya selesaikan di luar mesyuarat dan akhirnya alhamdulillah UMNO  jadi kuat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Saya mahu jadikan Tanjong Karang, Selangor kubu kuat PN – Noh Omar