Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar

SHAH ALAM – Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar nekad untuk menjadikan Parlimen Tanjong Karang dan negeri itu sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Jun ini.

Noh yang enggan berselindung lagi, secara terbuka mengakui kini beliau akan memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tumbang di Parlimen Tanjong Karang setelah usaha beliau hampir 30 tahun dipersiakan parti itu.

“Saya sudah berusaha menjadikan Tanjong Karang sebagai kubu kuat UMNO dan BN, tapi apabila ada orang luar nak menghancurkan UMNO sendiri, maka saya akan berusaha pula menjadikan Tanjong Karang kubu kuat PN.

“Pertandingan akan berlaku, saya kena pilih pasukan masa saya nak masuk. Saya pilih pasukan yang saya tengok akan mendapat sokongan dan tepukan gemuruh daripada penyokong iaitu PN hari ini.

“Siapa tak sayang UMNO, darah saya UMNO lah tapi saya tak boleh terima, benci saya, marah saya tapi jangan hancurkan UMNO.

“Saya tak sanggup hancurkan UMNO di Tanjong Karang, tapi kalau sudah pimpinan UMNO di Malaysia nak hancurkan UMNO Tanjong Karang, ayuh sama-sama kita hancurkan, itu pendirian saya,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Pusat Konvensyen Setia City, di sini, hari ini.

Pada 27 Januari lalu, Noh dipecat serta-merta daripada UMNO.

Perkara itu diminta sendiri Noh sewaktu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) setelah keputusan dibuat untuk menggantung beliau selama enam tahun.

Ketika ditanya mengenai parti komponen mana yang akan beliau disertai apabila secara terbuka mahu menyokong PN, Noh bagaimanapun enggan mendedahkan perkara itu dan ia akan dibuat dalam masa dekat.

“PN ini ada tiga pilihan, ada satu Pas, Bersatu dan satu lagi penyertaan terus dalam PN, kalau saya nak masuk PN, kalau tak masuk PN, tak semestinya saya tak masuk PN saya tak boleh kempen untuk PN.

“Kita tunggulah nanti, yang pastinya saya kena pilih pasukan yang baharu untuk main bola, itu,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Kau dipecat kerana mengkhianati parti. Sekarang kau nak menyertai parti pengkhianat untuk memusnahkan parti Umno. Syabas!

  2. Itu la org yg dh hilang jawatan.. Hilang segala2nya.. merapu 24jam utk tunjuk masih wujud

Comments are closed.