Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah cedera teruk dipercayai didera majikannya di sebuah rumah di Jalan Hujan Emas 3 di sini baru-baru ini.

Wanita warganegara asing berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan serius iaitu melecur hampir seluruh badan dan lebam di kedua-dua belah mata dan muka.

Mangsa telah mendapatkan rawatan di PPUM dan ditempatkan di rumah perlindungan, kata Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor.

“Mangsa bekerja sebagai pembantu rumah di lokasi kejadian selama hampir setahun enam bulan dan menyatakan seringkali dipukul, ditampar dan pernah dicederakan oleh majikannya di bahagian tangan dengan seterika,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum itu, polis menerima aduan daripada jiran majikan mangsa pada 23 April lalu.

Semalam, menurut Amihizam, kertas siasatan kes itu telah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara dan suspek yang merupakan majikan mangsa akan dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur esok untuk dituduh di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat
berkaitan sebarang aktiviti memperdagangkan manusia hadir ke Balai Polis berdekatan untuk beri keterangan.

Maklumat kesalahan jenayah yang lain juga boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline
Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette