Seorang pengawal keselamatan yang tertimbus akibat tanah runtuh di Wisma YPR, off Jalan Syed Putra, ibu negara, ditemukan maut awal pagi tadi. - Gambar ihsan JBPM KL

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan disahkan maut akibat tertimbus susulan tanah runtuh di Wisma YPR Off Jalan Syed Putra di sini awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur (PGO KL) memaklumkan, mayat mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an itu telah ditemui pukul 6.23 pagi.

“Kejadian berlaku akibat runtuhan batu penahan tebing telah menghempap pondok pengawal ketika mangsa berada di dalam sekaligus menyebabkan mangsa tertimbus.

“Pencarian mangsa yang tertimbus telah dilakukan oleh pasukan Bomba dengan bantuan unit K9, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan jentolak dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah PGOKL, mangsa telah berjaya dikeluarkan pada kedalaman 10 kaki dan disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik.

Bagaimanapun, mayat mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 12.54 tengah malam.

Susulan itu, seramai 37 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Seputeh, unit STORM dan K9 digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan ii, Mohd Rizuan Razali, setibanya anggota di lokasi mendapati berlaku runtuhan tanah dan menghempap sebuah pondok pengawal berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast