KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengulangi penegasan memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara yang aman dan stabil, dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang disepakati oleh semua parti yang membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, perkara itu adalah seperti yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Maka, BN menyeru kepada semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang bentuk politik gugatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Zambry yang juga Menteri Luar mengulas tentang spekulasi berhubung usaha pihak tertentu menjatuhkan kerajaan seperti yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.
Beliau turut menyifatkan spekulasi tersebut dimainkan oleh pihak tertentu yang kehilangan kompas politik kestabilan melalui usaha ancaman dan gugatan yang bertujuan melihat negara terus berantakan.
Zambry memberitahu, negara mendambakan sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
“Malaysia perlu muncul semula di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan pelabur dan masyarakat antarabangsa.
“Justeru asas kestabilan perlu dipertahankan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia,” jelasnya. – MalaysiaGazette