Pemilik perniagaan Eda Yasin Nasi Minyak Warisan, Rosleda Yassin, 50 buntu perniagaan diwarisi sejak 15 tahun musnah terbakar malam tadi.

KUANTAN – Seorang wanita buntu memikirkan rumah ibu dan kedai makan yang diwarisinya sejak 15 tahun lalu musnah sekelip mata dalam kebakaran petang semalam.

Rosleda Yassin, 50 berkata, dia yang dalam perjalanan dari Gambang selepas menjemput ibunya di pondok agama sebelum menerima panggilan daripada pekerjanya memaklumkan tentang kebakaran itu pada jam 7.23 malam.

“Pekerja saya beritahu, asap bermula daripada bahagian rumah ibu saya, tapi ketika itu api marak dengan cepat sehingga dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.

“Setiba di lokasi, bomba sedang berusaha memadam kebakaran manakala pekerja saya pula berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Rosleda Yassin

Menurut pemilik perniagaan Eda Yasin Nasi Minyak Warisan itu, kedai makan tersebut bercantum dengan rumah ibunya yang turut didiami pekerja serta anak saudaranya.

Dia bagaimanapun bersyukur kebakaran itu tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa, namun buntu memikirkan dugaan untuk memulakan semula perniagaan yang dimulakan arwah bapanya sejak 30 tahun lalu.

Sementara itu, anak Rosleda, Abdul Muhaimin Abdul Halim, 29, berkata, keluarganya merancang untuk mengadakan jamuan hari raya di kedai berkenaan hari ini dan semua keperluan sudah disediakan.

Abul Muhaimin Abdul Halim

“Semua keperluan untuk memasak menu nasi minyak dan nasi dagang untuk jamuan itu sudah pun disiapkan, tapi semuanya musnah terbakar,” katanya.

Selain itu, tiga premis dan empat kediaman terbakar Lorong Tanjung Api 12, Kampung Tanjung Api, Taman Gelora, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Ir. Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh sejam setengah. – MalaysiaGazette