KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan Sarawak untuk meningkatkan ekonomi negeri itu dengan membuka perniagaan judi dilihat bukan tindakan bijak.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, aktiviti berjudi boleh memberikan kesan sosial yang buruk terhadap masyarakat Sarawak dan masyarakat seluruh Malaysia.

“Judi bukanlah budaya asal rakyat pribumi Sarawak tetapi telah dibawa masuk oleh pihak luar yang ingin mencuri keringat orang Sarawak yang sangat rajin bekerja mengeluarkan titik peluh mereka sendiri untuk membangun keluarga dan negeri.

“Mereka mahukan pembangunan negeri menerusi kekuatan ekonomi melalui bidang keusahawanan dan perniagaan dan menolak idea membangun ekonomi belon rakyat dengan berjudi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dengan kedudukan Sarawak yang terletak di tengah-tengah Asia Tenggara, menjadikannya sebagai titik persimpangan perdagangan antara negara-negara di kawasan Asia Pasifik.

“Ini memberikan peluang besar untuk mengeksport barang-barang dan perkhidmatan Sarawak ke pasaran global,” katanya.

Jelasnya, perniagaan judi hanya menyebabkan stigma dan diskriminasi terhadap individu yang terlibat dalam judi.

“Kita telah melihat kes-kes yang pernah berlaku akibat ketagihan berjudi yang boleh menyebabkan perpecahan dalam keluarga dan mempengaruhi hubungan antara ahli keluarga.

“Berjudi hanya menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada masyarakat Sarawak dan juga negeri lain.

“Pertaruhan judi telah membuktikan ia menjadi pintu besar kepada kebankrapan dan mengalami kesulitan kewangan yang serius,” katanya.

Tambah Ahmad Tarmizi, judi juga dilihat sebagai penyebab masalah kesihatan mental seperti depresi, kecemasan, dan tekanan.

“Mungkin juga ada yang mengalami ketagihan judi, yang boleh menyebabkan kerugian kewangan dan mengganggu kehidupan sosial mereka,” katanya.

“Tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang membidas kenyataan Pesuruhjaya Pas Sarawak, Jofri Jaraiee yang mendakwa pembukaan kasino di Bumi Kenyalang itu akan mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding kebaikan dan wajar dikritik.

“Sekali lagi diingatkan bahawa pembinaan kasino bagi tujuan meningkatkan ekonomi Sarawak melalui urusan perjudian bukanlah suatu tindakan bijak, tetapi mengundang malapetaka yang lebih dasyat kepada negara kita.

“Umum mengetahui rakyat Sarawak mempunyai jati diri kuat tradisi dari nenek moyang yang tidak suka perbalahan masyarakat dan kerukunan keluarga yang akan musnah akibat judi,” tambahnya.

Ahmad Tarmizi juga berkata, rakyat Sarawak mahukan pembangunan negeri menerusi kekuatan ekonomi melalui bidang keusahawanan dan perniagaan dan menolak idea membangun ekonomi belon rakyat dengan berjudi.

Sebelum ini, King Sing dalam satu temu bual di Bintulu, Sarawak berkata, pewujudan taman hiburan dan padang golf termasuk kasino di Borneo Highlands Resort dapat mempromosikan pelancongan di Sarawak.

Beliau berkata, pada masa sama akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan, memacu manfaat ekonomi sekitar, dan menjana lebih banyak pendapatan untuk negeri ini.

Pendirian beliau berhubung perkara itu terserah kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah. – Malaysia Gazette