Seorang remaja orang asli maut di tempat kejadian dalam kemalangan berpunca lembu melintas jalan di Chini

KUANTAN – Seorang pelajar Orang Asli maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang berpunca daripada seekor lembu yang melintas jalan di Kilometer (KM) 5 Jalan Chini-Kuantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada pukul 3.50 petang.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin.

Katanya, kejadian melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dipandu seorang suri rumah, 34, dan dua buah motosikal

“Mangsa yang dikenali sebagai Arizal Arifin, 17, sebelum itu dilaporkan menunggang motosikal milik bapanya menghala ke Chini dari arah Kuantan, begitu juga dengan sebuah lagi motosikal terlibat.

“Siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila dua buah motosikal tersebut terlanggar seekor lembu yang menyeberang dari kanan ke kiri jalan,” kata Mohd Zaidi dalam kenyataannya hari ini.

Motosikal yang ditunggang remaja orang asli remuk selepas merempuh lembu yang melintas jalan dan sebuah kereta dalam kejadian di Chini petang semalam.
Gambar : Media Sosial

Rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua motosikal itu terbabas dan melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan.

Ekoran kejadian tersebut, remaja itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi berkata, penunggang dan pembonceng motosikal kedua hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette