Keadaan tanah runtuh berdekatan bangunan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika di, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Unit Cerun di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang merangka dan bercadang untuk melaksanakan program penyelenggaraan cerun di dalam kawasan persendirian dengan melibatkan warga ibu kota menerusi sesi perjumpaan dan taklimat.

Datuk Bandar, Datuk Sr. Kamarulzaman Mat Salleh berkata, program itu turut melibatkan kesedaran mengenai tanah runtuh dan tanda-tanda awal insiden tersebut supaya tindakan pencegahan dapat diambil.

Katanya, perkongsian maklumat dapat membantu penduduk menjadi lebih proaktif dan bersedia apabila berlaku tanah runtuh kerana mereka mengetahui aspek–aspek keselamatan yang perlu diambil perhatian.

“DBKL kini dalam proses menyediakan Garis Panduan Penyelenggaraan Cerun di Kawasan Tanah Bermilik di Kuala Lumpur yang akan menjadi rujukan khususnya kepada pemilik tanah persendirian.

“Pemantauan yang lebih giat juga akan dilakukan oleh Unit Cerun ini terhadap lokasi yang berisiko tinggi yang mana pemantauan cerun ini dapat membantu tindakan yang cepat dapat diambil sekiranya terdapat tanda-tanda awal kegagalan cerun di lokasi.

“Unit ini bertanggungjawab mengemaskini data cerun sedia ada di dalam KuLSIS (Kuala Lumpur Slope Information System) supaya jumlah cerun yang direkodkan adalah yang terkini dan tepat, selaras dengan pembangunan yang pesat di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, DBKL juga akan memperkenalkan Sistem Amaran Awal sebagai salah satu usaha pemakluman awal sekiranya terdapat kejadian pergerakan tanah.

Jelasnya, sistem yang akan dilakukan secara berperingkat itu akan dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur dengan memberi keutamaan kepada lokasi berisiko terlebih dahulu.

Kamarulzaman berkata, sejak Disember 2021, pihaknya menerima 108 aduan kejadian tanah runtuh yang melibatkan cerun berisiko dan memerlukan tindakan daripada pihak bertanggungjawab.

Katanya, daripada jumlah 108 aduan itu, sebanyak 59 aduan melibatkan rizab jalan dan kerja-kerja pembaikan telah siap dilaksanakan DBKL manakala 49 cerun berada di bawah tanggungjawab pihak persendirian. – MalaysiaGazette