Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membawa pulang individu yang terlibat dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) hasil kerjasama dengan agensi penguat kuasa dari luar negara.

Menurut sumber, individu tersebut sedang dalam siasatan SPRM kerana disyaki menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB dan SRC tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pada jam 3.30 pagi 3 Mei lalu.

Namun setakat ini identiti individu berkenaan masih belum didedahkan kerana masih dalam siasatan.

Sebaik tiba di KLIA2, individu yang menghilangkan diri sejak 2018 diserahkan Notis Perintah untuk hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 10 pagi kelmarin.

Pegawai SPRM telah merakamkan keterangannya dan penggeledahan rumah pada hari yang sama.

Sumber berkata, hasil siasatan mendapati individu berkenaan dipercayai telah menerima wang hasil penyelewengan dana 1MDB dan SRC melalui akaun bank syarikat yang dikenali sebagai Wright Shaw Limited.

Sebelum ini, SPRM dengan kerjasama Commercial Affairs Departments Singapura (CAD Singapura) telah melaporkan berjaya menyita akaun bank milik Wright Shaw Limited berjumlah kira-kira  AS$5.2 juta.

Selain itu, siasatan juga membuktikan bahawa dia telah menerima wang hasil daripada penyelewengan dana 1MDB melalui Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Menurut sumber, pada 26 April 2023, SPRM dengan kerjasama CAD Singapura telah berjaya membawa pulang wang dianggarkan berjumlah RM16 juta daripada syarikat Totality Limited milik Tang Keng Chee.

“Tang Keng Chee ataupun dikenali sebagai Casey Tang merupakan Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB dari tahun 2012 hingga 2013.

“Beliau terlibat dengan 1MDB ketika itu dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) sehingga 2011.

“Konspirasinya adalah untuk mengelirukan bank dan menyembunyikan fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Low Taek Jho (Jho Low),” kata sumber itu.

Sumber berkata, SPRM dipercayai telah mengeluarkan waran tangkap (Red Notice) bertarikh 29 Jun 2018 terhadap Tang Keng Chee yang masih tidak dapat dikesan dan telah menghilangkan diri kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan penahanan itu berkata, suruhanjaya tersebut sedang berusaha untuk membawa pulang beberapa lagi aset daripada individu-individu yang terlibat di Singapura.

SPRM setakat ini berjaya mendapatkan kembali kira-kira 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion. – MalaysiaGazette