PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pihak yang mendakwa konon mempunyai sokongan kukuh untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan membawa usul berkenaan ke sidang Parlimen akan datang.

Beliau menegaskan, dirinya bukan perdana menteri yang akan mengelak untuk berdepan dan berentap berhubung keabsahan itu di Parlimen seperti yang dilakukan perdana menteri sebelum ini apabila memilih mengisytiharkan darurat serta menangguhkan sidang Parlimen.

Anwar turut mengulangi Kerajaan Perpaduan ketika ini mempunyai sokongan ampuh daripada 148 ahli Parlimen membabitkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional serta Gabungan Parti Sarawak.

“Ada pertelingkahan mengenai kestabilan dalam negara dan ini merupakan masa yang tepat untuk ‘mematikan’ desas-desus menukar Perdana Menteri kerana tidak menguntungkan negara.

“Kalau mereka ada angka, sila bawa ke sidang Parlimen. Saya akan berdepan dengan orang yang bawa usul dan kita akan bertempur dalam sidang itu.

“Saya harap dengan kenyataan ini dimatikan segala kenyataan yang merosakkan dan mengganggu-gugat kestabilan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta pemimpin negeri.

Tambah Anwar, beliau tidak akan menghalang usul bagi mencabar kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan di Parlimen sekiranya usul itu dibawa.

“Cari ahli Parlimen yang sokong mereka dan bawa usul. Saya tidak akan mengelak daripada membentangkan usul undi percaya atau tidak.

“Tapi syaratnya biar yang ini episod akhir supaya kita boleh tumpu perhatian untuk membangunkan negara,” katanya.

Terdahulu, terdapat desas-desus yang tersebar kononnya ketua pembangkang yang juga Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempunyai akuan bersumpah (SD) dan sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri baharu. – MalaysiaGazette

4 Komen

  1. UMNO daripada menjadi parti yang memiliki kerajaan kini telah bertukar fungsi menjadi pengampu kerajaan DAP/PKR no.1? Salam takziah diucapkan!

  2. Calon2 PM11 nampaknya sangat berwibawa dan bergitu meyakinkan. Yang rakyat paling suka adalah imej bersih dan tidak punyai sebarang rekod dimahkamah.

    Ini pandangan natizen sahaja!

  3. PMX ingat ke ada makhluk dulu-dulu kata..
    sudah ADA CUKUP ANGKA
    tiap-tiap minggu dia dok nyalak..
    CUKUP ANGKA
    CUKUP ANGKA
    hingga dia ke Penjara
    PMX kenai ka…. ?

  4. SYARAT NAK JADI MUNAFIK MESTILAH ISLAM….antara ciri2 MUNAFIK….CAKAP BOHONG /MUNGKIR JANJI TIDAK AMANAH serta berpura2 dan lidah bercabang

    ANWAR ZAHID DAN SEKUTUNYA terkena KIFARAH MUNAFIK atas DASAR PAKATAN LUAR TABIEE

Comments are closed.